" Ulat Buku "
Tulisan Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz dalam blognya menarik perhatian saya. Ketika beliau menyifatkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ulat buku. Teringat kenangan saya bersama kawan-kawan menziarahi Tok Guru di rumahnya di Pulau Melaka selepas waktu Asar, beliau keluar dalam keadaan kitab berada di tangannya. Rupa-rupanya, Tok Guru sedang menelaah kitab ketika itu.
“ Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.
Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan”.
Pelik rasanya kalau saf penuntut ilmu seperti saya ini malas membaca. Kitab-kitab yang dibeli bukan sekadar untuk dijadikan koleksi atau pameran, tetapi untuk dibaca serta diamati sebelum diamalkan kandungannya.
Ilmu yang sangat kurang di dada. Saya perhatikan kitab-kitab yang tersusun di rak. Rak dipenuhi kitab. Kitab pula dipenuhi habuk. Tanda kitab-kitab itu seperti tidak dipedulikan. Kebanyakan kitab itu ada ulama’ yang mensyarahkannya. Para masyayeikh menunjuk jalan supaya kita membaca kitab-kitab yang penting sebagai bekalan. Zaman moden, rakaman pengajian ulama’ seluruh dunia dikumpulkan dalam website mereka. Mudah benar untuk mengumpulkannya tetapi payah sungguh untuk mendengarnya. Huraian dari lisan ulama’ itu penting bagi memastikan setiap ilmu itu bersambung salasilah pengajiannya sehingga para sahabat dari Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam.
Pelik lagi bila orang memandang amalan membaca kitab bila ada masa terluang tanpa mengira tempat adalah sesuatu perbuatan asing. Betul kata Us Hishamuddin Abd Karim dalam kuliahnya: orang kita payah untuk berubah. Mereka takut mencipta suasana ‘ulat buku’. Takut kalau ada orang bercakap dan mengulas perkara yang bukan-bukan di belakang. ‘Hati Tikus’ antara istilah yang digunakan oleh Al-Fadhil Mantan Presiden PMRAM itu dalam majlis ramah mesra di KPT baru-baru ini.
Kalau dibuat satu muhasabah secara jujur, tahulah dalam masa sehari banyak mana kitab yang telah dibaca dan diulangkaji. Mungkin tidak pernah menyentuhnya dalam jangka waktu yang panjang.
Saya akhirkan cetusan fikiran saya sebelum masuk waktu Zohor hari ini dengan nukilan kata Syeikh Usamah As-Sayyed Al-Azhari dalam ceramahnya di Datarn Hayyu Asyir suatu masa dahulu bersama dengan pelajar-pelajar Malaysia.
" وممن اتسع اطلاعه من المعاصرين الأستاذ الشيخ محمود محمد شاكر رحمه الله، ظل عشر سنوات معتكفا على مكتبته وقرأ في كل فروع المعرفة الإنسانية. وكذلك أيضا الشيخ عبد الفتاح أبو غدة رحمه الله تعالى رحمة واسعة، كانت مكتبته تزيد على الأربعين ألف كتاب. وما من كتاب إلا وله على هوامشه وحواشه تعليقات وإضافات وتدقيقات وهكذا. وكذلك سماحة مولانا المفتي أيضا في سعة اطلاعه على علوم المختلفة ومعرفة المظان المسائل"


0 comments:
Catat Ulasan