Tiga Hari Berbaki Ramadhan; Muhasabah Solat Fardhuku
Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam. Rasul akhir zaman yang mengingatkan kepada umatnya;
“ Ketahuilah sesungguhnya pada jasad itu ada seketul daging. Sekiranya baik, baiklah jasad seluruhnya. Sekiranya rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, itu adalah hati”
Allah Taala menyifatkan dalam Al-Quran mengenai Baginda Sollallahu’alaihiwasallam dan orang yang bersamanya dengan FirmanNya;
“ Muhammad itu pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersamanya bersikap tegas ke atas golongan yang ingkar dan saling merahmati antara mereka, kamu melihat mereka rukuk dan sujud mengharapkan kurnia Allah Taala dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka jelas kelihatan dari kesan sujud……”
Tiga hari lagi Ramadhan akan berlalu. Waktu yang sangat sempit untuk memperbaiki segala kekurangan pada jiwa yang jauh dari Allah Taala. Seruan ibadah puasa ditujukan kepada golongan yang beriman tanda penghormatan Allah Taala kepada mereka. Masalahnya, setakat mana seruan itu disahut dengan sebaiknya oleh manusia yang mengucapkan lafaz keimanan dengan lisan mereka.
Jujur dengan diri ketika bermuhasabah. Setakat mana interaksi diri dengan seruan Allah Taala. Bersungguh-sungguh atau sambil lewa; memandang mudah dan remah dengan seruannya? Ramadhan bulan ibadah. Namun, kualiti ibadah tetap seperti sebelumnya tanpa perubahan ke arah yang lebih baik.
Bukti yang jelas dan nyata: ketika azan dilaungkan, hati langsung tidak tergerak untuk cepat-cepat bangkit menyahut seruan Ilahi. Semakin azan dilaungkan, hati terasa semakin malas untuk bangun menunaikan kefardhuan solat. Tiga hari berbaki, mampukah untuk berubah? Patutlah solat didirikan tanpa roh dan penghayatan. Seruan menujunya dipandang dengan sebelah mata seolah-olah tiada nilainya. Allah! Solat yang menghubungkan antara seorang hamba dan Tuhannya dilihat tiada nilai dalam kehidupan???
Bukan menuding jari kepada orang lain. Menulis sambil berleter kepada diri sendiri. Kata Syeikh Ahmad Badruddin Hassoun, ikhlas sudah hilang dalam hati umat Islam hari ini. Ucapannya kosong tanpa penghayatan. Tulisan yang nampak indah bahasanya itu hakikatnya sekadar dakwaan palsu.
Antara petikan ucapan Al-Habib Ali Al-Jufri Hafizohullah;
“ Apakah makna kamu bangun untuk mendirikan kefardhuan? Dengar; makna yang pertama yang perlu kita rasai dari mafhum kefardhuan adalah saat pertemuan antara kekasih dengan orang yang dikasihinya…”
“ Perbezaan yang sangat besar antara orang yang bangun menunaikan solat dalam keadaan dirinya merasakan dirinya mempunyai hutang yang perlu dijelaskan – nafsu merasa berat dalam keadaan hutang yang masih berbaki, terasa berat untuk menjelaskan hutang dan merasa tenang setelah hutang dijelaskan -. Perkara yang dituntut adalah kamu merasa tenang ketika solat bukannya selepas solat. Perlulah untuk memulakan hakikat ketenangan dalam solat. Saat pertemuan antara kekasih”
“ Hanya dengan fikiran kamu bahawa waktu solat semakin hampir bermakna saat pertemuan dengan Kekasihku semakin hampir. Ini adalah kefahaman pertama yang perlu kita hayati bersama solat…”
“ Berusahalah menjaga solat fardhu secara berjemaah. Berusalah untuk solat di Masjid. Solat di masjid mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak terdapat pada selainnya. Menjadi tetamu Allah Taala di rumah Allah Taala. Sekiranya terdapat keuzuran, berusahalah untuk berjemaah di rumah atau di tempat kerja. Pentingnya; kamu berusaha untuk solat fardhu secara jemaah”
“ Sebelum masuk waktu, bersedialah untuk solat. Pertamanya; bersiap-sedia sebelum azan untuk mendirikan solat. Jangan jadikan bermulanya azan dilaungkan barulah kamu tergesa-gesa untuk bersiap. Jadikanlah perkara ini jarang-jarang berlaku dalam hidupmu. Bahaya kepada orang yang ingin menuju Allah Taala, berat baginya untuk menghadapi saat pertemuan dengan Kekasihnya”
“ Sebelum masuk waktu, bersedialah untuk solat. Pertamanya; bersiap-sedia sebelum azan untuk mendirikan solat. Jangan jadikan bermulanya azan dilaungkan barulah kamu tergesa-gesa untuk bersiap. Jadikanlah perkara ini jarang-jarang berlaku dalam hidupmu. Bahaya kepada orang yang ingin menuju Allah Taala, berat baginya untuk menghadapi saat pertemuan dengan Kekasihnya”
Allah Taala mengizinkan pertemuan kedua beberapa hari sebelum Ramadhan baru-baru ini bersama Al-Habib Ali Al-Jufri di Masjid Sayyidina Husain, Kaherah. Selepas menziarahi Sayyidina Husain Radiallahu’anhu, Al-Habib mula bergerak untuk pulang melalui terowong bawah tanah menuju Masjid Al-Azhar As-Syarif. Sampai di pinggir jalan, beliau berkata kepada pembantunya; “ Sekiranya kereta masih jauh, kita solat dahulu di Masjid Al-Azhar As-Syarif”. Ketika sedang berbicara dengan orang-orang di sekelilingnya yang sentiasa merindui untuk bertemunya, tiba-tiba azan dilaungkan. Terus Al-Habib menghentikan kata-katanya dan berpaling menuju ke Masjid Al-Azhar As-Syarif untuk menyahut seruan solat.
Mengingatkan kepada ucapan Sayyidina ‘Aisyah Radiallahu’anha ketika menyifatkan keadaan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam apabila masuk waktu solat; “ Seolah-olah kami tidak mengenalinya, dan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam tidak mengenali kami”.
Ilmu yang diperolehi dari lisan para ulama’, sampai bila sekadar menjadi hafalan tanpa amal selepasnya. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam memperingatkan; “Setiap manusia itu menuju amal, samada seseorang itu dimasukkan dengan amalnya ke dalam neraka ataupun di masukkan ke dalam syurga”.
Ucapan Salam Aidilfitri? Sabar dahulu, tiga hari berbaki yang sangat sempit…


0 comments:
Catat Ulasan