Khamis, September 02, 2010

Mencari Roh Ibadah


Berlalu 3 hari dari sepuluh terakhir Ramadhan. Muhasabah jujurnya; roh ibadah masih belum ditemui. Maksiat yang menghalang cahaya hidayah sampai ke hati menyebabkan kemanisan ibadah tidak mampu dirasai. Harapan yang masih kuat; moga Ramadhan kali ini mampu memberi satu perubahan dalam membina hubungan dengan Allah Taala.
Jangan sampai air mata yang mengalir itu sekadar air mata palsu. Jangan sampai kata-kata yang diucapkan sekadar bualan kosong tanpa penghayatan. Begitulah juga segala ilmu yang diperoleh, jangan sampai menjadi hujah ke atas tuannya.
Syaitan pastinya yang akan melompat gembira melihat manusia yang tewas ditangannya adalah seorang penuntut ilmu Allah Taala. Menyesatkan orang berilmu adalah satu kejayaan yang sangat besar buat syaitan laknatullah dan para pengikutnya. Hati-hati dengan perangkap syaitan yang sentiasa cuba menjadikan manusia jauh dari Penciptanya.
Maksiat itu musuh ilmu hakiki. Penuntut ilmu perlu berusaha menjauhinya. Cabaran untuk meninggalkan maksiat itu pelbagai. Kekuatan rohani di samping rahmat Ilahi sangat ditagih untuk memastikan kejayaan berhadapan dengan pelbagai dugaan yang datang. Sekadar mengambil kulit luar ilmu tanpa isinya pasti menghasilkan natijah yang sia-sia. Ilmu itu untuk diamal dan dihayati, bukan sekadar untuk menyedapkan kalam supaya manusia tunduk kepada pemiliknya. Ilmu itu amanah yang berat untuk dipikul. Kewujudannya bukan untuk dibanggakan. Bahkan, perlunya pergantungan yang kuat kepada Ar-Rahman.
Pengalaman hidup ini pelbagai. Syaitan memang bijak memperdaya manusia yang leka. Dia tahu kita punyai cita-cita untuk menjauhi perkara yang dimurkai. Lalu, syaitan merancang untuk menggagalkan hasrat murni tersebut. 
Syeikh Ahmad Badruddin Hassoun memperingatkan mengenai roh ibadah yang dilakukan. Biarlah ibadah itu jasad yang mempunyai rohnya. Berusahalah untuk menghayati dan memahami makna ibadah bagi menghubungkan hamba dengan Tuhannya.
Sayyiduna Umar memperingatkan ketika berkhutbah di atas mimbarnya; “ Sesunguhnya Allah Taala berkata di Hari Kiamat kepada orang yang telah beruban rambutnya tetapi tidak mendirikan solat. Orang itu berkata; wahai Tuhan, aku mendirikan solat sejak permulaan umurku. Allah Taala menjawab: kamu telah berdiri dihadapanKu tetapi hatimu berada bersama selainKu. Aku adalah Tuhan yang melihat kepada hati, bukan kepada jasad luaran semata-mata. Sebab itulah kamu tidak mendirikan solat untukKu walaupun sehari”
Setiap ibadah itu mempunyai kekuatan tersendiri. Kekuatan yang membuka jalan untuk istiqamah dalam melaksanakan ketaatan serta meninggalkan perkara yang dimurkai Allah. Roh setiap ibadah itu perlu dikembalikan pada jasadnya sekiranya bercita-cita untuk melihat jasad itu hidup dengan cahaya hidayahNya.
Masih berusaha di penghujung Ramadhan ini. Tersangat mengharapkan pedoman Ilahi sebelum berakhir Ramadhan. Kalau sudah tewas pada syahwat ketika tiada syaitan yang membantu, bagaimana mengharapkan taat ketika syaitan mula kembali melaksanakan tugas jahatnya?

0 comments: