Khamis, Ogos 20, 2009

Berjayakah untuk menghayati Ramadhan sebagai Bulan al-Quran?

Ramadhan menyapa lagi. Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan. Kedatangan yang sentiasa dinanti-nantikan. Bulan yang dilimpahi cahaya keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Masa terbaik mencuri peluang menambah ibadah bagi menghapuskan dosa dan kesilapan. Semoga dijauhkan dari neraka Jahannam dan di beri masuk ke dalam syurgaNya melalui pintu ar-Rayyan.

“ Ramadhan Bulan al-Quran”. Begitulah antara aathar yang pernah diriwayatkan. Timbul satu persoalan; Berjayakah menjadikan Ramadhan tahun ini sebagai bulan untuk menghayati kandungan al-Quran?

Biarlah Ramadhan kali ini menjadi satu medan terbaik untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Dalam diri, telah diletakkan target penting khusus untukmu Ramadhan. Kegagalan untuk memanfaatkan peluang menghayati Ramadhan yang hanya hadir setahun sekali ini seolah-olah memberi satu penilaian awal terhadap amalan kebaikan untuk hari-hari selepasnya. Pastikan Ramadhan kali ini diisi dengan memperbanyakkan bacaan serta tadabbur Kalamullah yang mulia disamping meningkatkan usaha untuk memahami dan menghayatinya. Jagalah kalam dari melafazkan perkara yang sia-sia dan tidak diredhaiNya. Lazimi zikrullah sebagai penenang jiwa.


Ikuti pesanan terbaik dari ad-Da’ieyatul Islamiyy al-Habib an-Nasib as-Syeikh Muhammad bin Abdul Rahman as-Saqqaf Hafizohullah;

“ Zikir mengingati Allah adalah penyelamat dari sifat nifaq kerana orang munafiq tidak banyak mengingati Allah Taala. Sabda Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam: ‘Berzikirlah kepada Allah Taala sehingga orang munafiq melihat kamu gila ( disebabkan terlalu banyak berzikir kepada Allah Taala Yang Maha Tinggi)’.

Begitu juga dipesan kepada hambaNya supaya memperbanyakkan zikir. Tidak datang satu amalan yang dituntut untuk kita memperbanyakkannya melainkan zikir. Firman Allah Taala: ‘…..orang yang banyak berzikir kepada Allah’ ; ‘ zikirlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya..’. Begitulah antara ayat-ayat al-Quran yang menuntut supaya memperbanyakkan zikir.

Berkata para ulama’: antara kurniaan Allah Taala kepada hambaNya menjadikan ibadah yang agung ini dengan satu anggota yang paling mudah dari anggota badan manusia iaitu lidah. Lidah sangat mudah untuk digerakkan. Seseorang itu mungkin untuk bercakap berjam-jam lamanya tanpa terasa letih. Panjang sungguh kalamnya. Tidak pula terasa letih dengan banyak bercakap perkara yang tidak ada faedahnya.

Malangnya, manusia merasa letih untuk berzikir. Baru sedikit berzikir sudah mencari air untuk diminum. Baru sebentar berzikir macam-macam perkara dunia terlintas dalam pemikiran. Keadaan ini berpunca dari dua perkara:

Pertamanya: Syaitan akan berusaha untuk menghasut orang yang sedang berzikir kerana zikir itu membakar dan menyakitkannya. Syaitan akan menyibukkan ingatan kamu kepada pelbagai perkara duniawi serta mendatangkan perasaan lapar dan dahaga bagi memalingkan ingatan kamu kepada Allah.

Keduanya: Diri tidak pernah dilatih untuk melazimi zikir. Sekiranya manusia sentiasa melatihnya, ia akan menjadi suatu yang mudah. Akan timbul perasaan sayang untuk berzikir kepada Allah. Sebahagian ahli ma’rifat yang sentiasa berzikir kepada Allah merasa tidak senang apabila tidak berzikir kepada Allah Taala. Sebahagian mereka terpaksa meletakkan batu di dalam mulutnya apabila ingin memasuki tandas kerana bimbang terlalai lalu lidahnya berzikir kepada Allah. Hebatnya kelalaian mereka. Subhanallah. Kelalaian kita dengan tidak berzikir. Kelalaian mereka sehingga terpaksa melakukan sesuatu untuk mengelakkan lidah dari berzikir di tempat-tempat yang dilarang.

Zikir kepada Allah Taala perlu diperbanyakkan. Amalkan zikir yang warid dari Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam. Lihatlah kesan zikir dalam diri kita dari Ramadhan kali ini hingga Ramadhan akan datang…….”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan